Assalamualaikum wr.wbt ... TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG MASJID RINCHING HILIR .. kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan

Ahad, 18 Ogos 2013

HUKUM MEMBASUH PAKAIAN GUNA MESIN BASUH


HUKUM MEMBASUH PAKAIAN MENGGUNAKAN MESIN BASUH

Pada masa kini  kebanyakan orang Islam membasuh pakaian mereka menggunakan mesin basuh. Persoalannya adakah cara mereka membasuh pakaian mereka itu mengikut keadah syarak atau tidak? Jika tidak maka pakaian mereka itu masih dihukumkan mutanajjis iaitu kena najis. Ia tidak sah untuk digunakan sembahyang, kerana syarat sah sembahyang mestilah suci pada badan, pakaian dan tempat.
Sebelum diperkatakan mengenai tajuk di atas, dijelaskan dahulu mengenai najis mutawassitah,  bahagian-bahagiannya dan bagaimana untuk menyucikannya menurut ulama-ulama mazhab al-Shafi`i atau disebut al-Shafi`iyyah.

Menyucikan  najis mutawassitah

Apa yang dimaksudkan dengan najis mutawassitah ialah najis yang lain daripada anjing dan babi dan yang dilahirkan dengan  salah satu daripada kedua-duanya dengan binatang lain, dan yang lain daripada kencing-kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain daripada susu dan berumur sebelum dua tahun. Najis yang pertama disebut mughallazah dan yang kedua mukhaffafah.

Najis itu ada yang  najis `ayni dan ada yang hukmi

Najis hukmi

Najis hukmi ialah najis yang diyakini ada najis itu, tetapi najis itu sudah tidak dapat dirasa, tiada warna dan bau. Bagi menyucikan najis  hukmi memadai dengan sampai air kepada tempat yang kena najis dan air itu mengalir, lebih dari setakat merenjis.  (Muhammad al-Sharbini al-Khatib 1955, 1: 31).

Najis `ayni

Jika najis itu `ayni, iaitu ada benda bagi najis itu, seperti terdapat tahi yang jelas dan dapat dilihat.
Kaedah menyucikan najis  `ayni adalah:
Pertama, hilangkan `ayn iaitu benda najis itu.
Kedua, hilangkan rasa (ta`m) najis itu, sekalipun sukar.
Ketiga,  hilangkan warna dan bau jika mudah dihilangkan. Jika sukar dihilangkan, tidak mengapa ada salah satu daripada kedua-duanya, tetapi jika kedua-duanya ada maka tidak memadai, kerana ia  tanda yang kuat menunjukkan `ayn (benda) najis itu masih kekal.
Keempat, jika air mutlaq yang digunakan untuk membasuh najis itu sedikit, iaitu kurang daripada dua kolah (lebih kurang 12 tin minyak tanah atau kira-kira 230 liter) maka hendaklah didatangkan air ke atas tempat yang kena najis.

Hukum air basuhan yang sedikit (kurang daripada dua kolah) yang digunakan untuk membasuh  sesuatu yang kena najis itu suci apabila air basuhan itu bercerai dari tempat yang dibasuh itu dengan tidak berubah dan tidak bertambah timbangannya dan tempat itu telah suci. (Muhammad al-Sharbini al-Khatib 1955, 1: 31).  Lihat juga Muhammad al-Khatib al-Sharbini 2006,1:227-228)

Dalam Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibn Hajar al-Haytami ada menyebut:

وَالْأَظْهَرُ طَهَارَةُ غُسَالَةٍ ) لِنَجَاسَةٍ عُفِيَ عَنْهَا كَدَمٍ أَوْ لَا وَالتَّفْرِقَةُ بَيْنَهُمَا غَيْرُ صَحِيحَةٍ ؛ لِأَنَّ مَحَلَّهَا قَبْلَ الْغَسْلِ وَيُؤَيِّدُ ذَلِكَ مَا مَرَّ أَنَّ مَاءَ الْمَعْفُوِّ عَنْهُ مُسْتَعْمَلٌ ( تَنْفَصِلُ
عَنْ الْمَحَلِّ وَهِيَ قَلِيلَةٌ ( بِلَا تَغَيُّرٍ ) وَلَا زِيَادَةِ وَزْنٍ بَعْدَ اعْتِبَارِ مَا يَأْخُذُهُ الثَّوْبُ مِنْ الْمَاءِ وَيُعْطِيهِ مِنْ الْوَسَخِ الطَّاهِرِ وَيَظْهَرُ الِاكْتِفَاءُ فِيهِمَا بِالظَّنِّ ( وَقَدْ طَهُرَ الْمَحَلُّ ) بِأَنْ لَمْ يَبْقَ فِيهِ طَعْمٌ وَلَا لَوْنٌ أَوْ رِيحٌ سَهْلُ الزَّوَالِ
( Ibn Hajar al-Haytami t.t. 3: 384-385)

Pendapat yang lebih zahir (al-azhar), adalah suci air basuhan yang  bercerai… dari tempat yang dibasuh sedangkan air itu sedikit (tidak sampai dua kolah), tidak berubah dan tidak bertambah setelah dikira air  yang diserap oleh pakaian, dan sesuatu yang dikeluarkannya dari kekotoran yang suci. Zahirnya memadai (untuk mengetahui) pada dua perkara itu dengan cara jangkaan(zan) sedangkan tempat yang dibasuh itu telah suci iaitu tiada lagi padanya rasa, warna dan bau yang mudah hilang.

Kenyataan di atas menunjukkan sesuatu yang dibasuh itu apabila sudah hilang rasa, warna dan bau yang mudah hilang,  dan air yang berpisah dari tempat yang dibasuh itu tidak berubah dan tidak bertambah,  setelah dikira air  yang diserap oleh pakaian, dan sesuatu yang dikeluarkannya dari kekotoran yang suci maka sesuatu yang dibasuh itu telah suci.

Kata Ibn Hajar al-Haytami lagi:

وَنَجَاسَتُهَا إنْ تَغَيَّرَ أَحَدُ أَوْصَافِهَا أَوْ زَادَ وَزْنُ الْمَاءِ أَوْ لَمْ يَطْهُرْ الْمَحَلُّ ؛ لِأَنَّ الْبَلَلَ الْبَاقِيَ بِهِ بَعْضُ الْمُنْفَصِلِ فَلَزِمَ مِنْ طَهَارَتِهِ بَعْدَهُ طَهَارَتُهُ وَمِنْ نَجَاسَتِهِ نَجَاسَتُهُ وَإِلَّا وُجِدَ التَّحَكُّمُ فَعُلِمَ أَنَّهَا قَبْلَ الِانْفِصَالِ عَنْ الْمَحَلِّ حَيْثُ لَمْ تَتَغَيَّرْ هِيَ طَاهِرَةٌ قَطْعًا وَأَنَّ حُكْمَهَا حُكْمُ الْمَحَلِّ بَعْدَ الْغَسْلِ
( Ibn Hajar al-Haytami t.t. 3: 385)

Air basuhan itu najis jika berubah salah satu daripada sifat-sifatnya (bau, warna dan rasa), atau bertambah timbangan air, atau tidak suci tempat, kerana basah yang tertinggal di tempat basuhan itu adalah sebahagian daripada air yang bercerai daripada tempat basuhan,  maka tidak dapat tidak suci tempat yang dibasuh setelah (air) bercerai, menunjukkan suci air yang bercerai. Dengan ini diketahui, air basuhan itu sebelum bercerai daripada tempat yang dibasuh sekiranya ia tidak berubah ia adalah jelas suci, dan hukumnya adalah mengikut hukum tempat yang disucikan setelah dibasuh.
Kenyataan di atas juga menunjukkan apabila air basuhan itu  bercerai daripada tempat yang dibasuh, air itu berubah  salah satu daripada sifat-sifatnya (bau, warna dan rasa), atau bertambah timbangan air, atau tidak suci tempat yang dibasuh maka air basuhan itu najis.

Kata al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu`:

قال صاحب التتمة وغيره للماء قوة عند الورود علي النجاسة فلا ينجس بملاقاتها بل يبقى مطهرا فلو صبه على موضع النجاسة من الثوب فانتشرت الرطوبة في الثوب لا يحكم بنجاسة موضع الرطوبة ولو صب الماء في اناء نجس ولم يتغير بالنجاسة فهو طهور فإذا اداره على جوابنه طهرت الجوانب كلها هذا كله قبل الانفصال قال فلو انفصل الماء متغيرا وقد زالت النجاسة عن المحل فالماء نجس وفى المحل وجهان احدهما أنه طاهر لانتقال النجاسة الي الماء والثاني
وهو الصحيح أن المحل نجس أيضا لان الماء المنفصل نجس وقد بقيت منه أجزاء في المحل قال ولو وقع بول علي ثوب فغسل بماء موزون فانفصل زائد الوزن فالزيادة بول والماء نجس كما لو تغير وفى طهارة المحل الوجهان الصحيح لا يطهر قلت وقد سبق في المياه وجه شاذ أن هذا الماء طاهر مع زيادة الوزن وليس بشئ فالمذهب نجاسته
(al-Nawawi t.t. 2: 609)

Pengarang kitab al-Tatimmah (iaitu  al-Mutawalli)  dan lainnya berkata: Air ketika datang kepada najis ia mempunyai kekuatan, oleh itu dia tidak menjadi najis dengan sebab bertemu dengan najis, bahkan ia tetap suci lagi mencucikan. Jika air itu dituang kepada tempat yang kena najis yang ada pada pakaian lalu meribaklah air itu pada pakaian itu tidak dihukumkan najis pada tempat yang basah itu. Jika dituang air dalam bekas yang kena najis dan air itu tidak berubah dengan sebab najis itu maka air itu tetap suci lagi mensucikan, maka jika seseorang itu  memusingkan air itu ke sekeliling bekas tersebut maka sucilah semua sekeliling bekas itu. Hukum ini adalah sebelum air itu bercerai dari tempat itu.

Katanya lagi: Jika air itu bercerai dari tempat itu keadaannya berubah sedangkan najis itu telah hilang dari tempat yang dibasuh maka air itu najis. Mengenai tempat yang dibasuh itu pula ada dua pendapat. Pertama, tempat itu suci kerana najis itu telah berpindah kepada air. Pendapat yang kedua, dan ia merupakan pendapat yang sahih tempat itu najis, kerana air yang bercerai dari tempat itu najis dan air itu masih berada walau pun sedikit di tempat itu.
Jika jatuh air kencing di atas pakaian kemudian dibasuh dengan air yang   ditimbang,  kemudian air itu bercerai lebih dari timbangan asal maka yang lebih itu air kencing dan air itu najis sama seperti air itu berubah. Mengenai tempat  pula ada dua pendapat dan pendapat yang sahih ia tidak suci.
                                                                                                                                     
Kenyataan pengarang kitab al-Tatimmah (iaitu  al-Mutawalli)  dan lainnya yang dipersetujui oleh al-Imam al-Nawawi kerana beliau menukilnya dengan tidak memberi sebarang komentar adalah   menunjukkan bahawa air mutlaq yang menemui najis pada pakaian dan tempat,  air itu tetap suci dan menyucikan selagi ia tidak berubah. Hukum ini sebelum air itu bercerai daripada tempat yang dibasuh. Apabila air itu  bercerai dari tempat yang dibasuh jika air itu berubah sedangkan najis itu telah berpindah dari tempat yang kena najis maka air itu najis dan tempat yang dibasuh itu menurut pendapat yang sahih adalah najis.
 Kenyataan di atas juga menunjukkan apabila tempat yang dibasuh itu telah suci dan air yang berpisah daripada tempat yang dibasuh tidak berubah dan tidak bertambah maka tempat yang dibasuh itu suci.

Sama dengan apa yang dikatakan oleh pengarang kitab al-Tatimmah di atas ialah apa yang dikatakan oleh Pengarang kitab Hashiyah I`anah al-Talbin beliau ada menyebut:

وحاصله أنه إذا ورد الماء على المحل النجس ولم ينفصل عنه فهو طاهر مطهر
 فإن انفصل عنه ولم يتغير ولم يزد وزنه بعد اعتبار ما يأخذه المحل وطهر المحل فهو طاهر غير مطهر
 فإن فقد واحد من هذه القيود فهو نجس
(Muhammad Shatta al-Dimyati t.t. 1: 43).

Natijahnya apabila air itu datang ke atas tempat yang najis dan air itu tidak bercerai dari tempat itu maka air itu suci lagi menyucikan, maka jika air itu bercerai dari tempat itu dan air itu tidak berubah dan tidak bertambah timbangannya setelah dikira apa yang diserap oleh tempat dan tempat itu telah suci maka air itu suci tetapi tidak menyucikan. Maka jika hilang salah satu dari sifat-sifat ini air itu najis.
Daripada kenyataan-kenyataan ulama-ulama di atas  menunjukkan bahawa air itu apabila ia didatangkan kepada sesuatu yang dibasuh maka selagi ia berada ditempat yang dibasuh dan belum bercerai dengannya ia tetap suci lagi menyucikan selagi ia tidak berubah. Yang dibasuh itu suci apabila  telah hilang rasa, warna dan bau, walau bagaimanpun bau atau warna salah satu daripada kedua-duanya  jika sukar dihilangkan adalah  dimaafkan, dan hendaklah air yang bercerai daripada yang dibasuh itu tidak berubah dan tidak bertambah.

Membasuh pakaian menggunakan mesin basuh.

Membasuh pakaian yang kena najis melalui mesin basuh,   pakaian itu sudah dihilangkan `ain najisnya dan pakaian itu masih ada najis (mutanajjis). Air mutlaq yang digunakan membasuh  pakaian tersebut sedikit iaitu tidak sampai dua kolah.

Pertama.

Cara yang paling baik
Cara yang paling baik ialah disucikan dahulu pakaian yang kena najis di luar mesin basuh dengan didatangkan air mutlaq ke atasnya jika air itu sedikit (kurang daripada dua kolah).  Setelah pakaian itu suci (hilang rasa, warna dan bau,  atau hilang rasa dan warna  atau bau jika sukar untuk menghilangkannya)  pakaian itu dimasukkan ke dalam mesin basuh yang suci. Sekiranya dimasukkan sabun yang suci,  sabun itu tidak menjejaskan kesucian benda-benda yang sedia ada. Cara ini  adalah sebaik-baiknya, kerana mesin basuh suci, sabun suci dan pakaian suci manakala air pembasuhnya pula air mutlaq yang bersifat suci lagi menyucikan.

Kedua.

Menyucikan pakaian tanpa menggunakan sabun.
Jika pakaian yang kena najis itu didatangkan ke atas air yang ada dalam mesin basuh maka pakaian itu tidak suci kerana air itu menjadi mutanajjis dengan didatangkan  pakaian yang kena najis itu ke atasnya.
Jika pakaian itu diletakkan dahulu ke dalam mesin basuh kemudian didatangkan air mutlaq ke atasnya dan air itu menyeluruhi semua pakaian, kemudian diputarkan alat mesen basuh yang menjadikan airnya berpusing,  untuk membersihkan pakaian itu hukumnya ialah:

Jika air itu setelah berpisah dengan yang dibasuh  tidak berubah dan tidak bertambah beratnya (setelah dikira air  yang diserap oleh pakaian dan sesuatu        yang dikeluarkannya dari kekotoran yang suci)

(بَعْدَ اعْتِبَارِ مَا يَأْخُذُهُ الثَّوْبُ مِنْ الْمَاءِ وَيُعْطِيهِ مِنْ الْوَسَخِ الطَّاهِر)ِ

sedangkan pakaian yang dibasuh itu sudah tiada bau warna dan rasa najis, maka pakaian itu suci dan air basuhan itu suci, tetapi hukumnya musta`mal. (suci pada diri tetapi tidak boleh menyucikan yang lain). Setelah itu sama sahaja      samada pakaian itu  hendak dikeringkan dengan mesin basuh atau tidak.

Jika masih ada sifat-sifat najis (bau, warna dan rasa, atau rasa, dan warna atau bau jika sukar dihilangkan)  hendaklah dibuangkan air itu, kemudian pakaian itu dikeringkan atau diperah atau yang seumpamanya  melalui mesin basuh.  Setelah itu didatangkan air mutlaq kali  ke dua ke dalam mesin basuh itu lalu diputarkan alat mesin basuh itu, dan airnya hendaklah berpusing mengenai keseluruhan tempat dan pakaian yang kena najis sehingga menghilanglah sifat-sifat najis daripadanya dan air basuhan itu tidak berubah dan tidak bertambah apabila bercerai dari sesuatu yang dibasuh maka  pakaian dan tempat yang dibasuh   telah suci dan air basuhan itu suci.

Jika masih ada rasa tidak dimaafkan. Jika masih ada lagi bau atau warna, atau salah satu daripada kedua-duanya tetapi bukan kedua-duanya  pada pakaian itu kerana sukar dihilangkannya adalah dimaafkan.
Jika belum suci juga hendaklah diulang  seperti di atas sehingga air itu apabila bercerai daripada mesin itu tidak berubah dan  tidak bertambah, dan yang dibasuh telah tiada rasa najis, dan  tiada bau atau tiada warna najis.

Ketiga

Menyucikan pakaian dengan mesin basuh dengan meletakkan sabun kedalamnya

Jika pakaian itu telah disucikan,  kemudian dimasukkan air mutlaq, selepas itu dimasukkan sabun yang  suci  ke dalam mesin basuh yang suci maka pakaian itu suci walau pun berbau sabun. Sama seperi meletakkan minyak wangi yang suci kepada pakaian yang suci.

Jika pakaian itu belum disucikan  dan dimasukkan sabun yang suci bersama-sama pakaian kemudian didatangkan air ke atasnya.

Hukumnya:  Hendaklah dilihat,  adakah sabun itu mengubahkan air tersebut (dari segi rasa, warna dan bau) perubahan yang banyak atau sedikit. Jika perubahan itu sedikit yang tidak mengubah nama air mutlaq (masih dipangil air, bukan air sabun) maka ini tidak tidak menjejaskan air tersebut,  ia suci lagi menyucikan. Jika perubahan itu banyak   maka air itu suci tetapi tidak menyucikan. Hukumnya hukum air musta`mal. (Muhammad al-Sharbini al-Khatib 1955, 1: 25).

Jika ragu samada perubahan itu sedikit atau banyak ia tidak  menjejaskan, bererti air itu suci lagi menyucikan,  tetapi jika ragu samada perubahan itu banyak atau sedikit ia menjejaskan,  bererti air itu suci tetapi tidak menyucikan, kerana berpegang kepada asal. . (Muhammad al-Sharbini al-Khatib 1955, 1: 25).
Air musta`mal tidak boleh menyucikan yang lain. Apabila air itu tidak boleh menyucikan yang lain dan pakaian yang ada bersama-samanya ada najis maka air yang bercampur sabun itu telah mutanajjis. Air mutanajjis tidak suci, apatah lagi  untuk menyucikan. Oleh kerana itu apabila alat mesin basuh itu  diputarkan supaya air dalamnya berpusing untuk pembersihan maka selepas itu air yang bercampur dengan sabun itu hendaklah dibuang, dan pakaian itu hendaklah dikeringkan  atau diperah atau yang seumpamanya  melalui mesin basuh, untuk menghilangkan najis dan air yang mutanajjis. Hukum pakaian dan tempat basuh adalah mutanajjis.

Selepas itu hendaklah:
Datangkan air mutlaq ke atas pakaian dan bekas mesin basuh tersebut secara yang betul-betul menyeluruh.  Sama sahaja samada alat mesin basuh itu diputarkan atau tidak. Walau bagimanapun diputarkan alat misin basuh itu adalah lebih baik untuk memudahkan sampai air keseluruh tempat yang kena mutanajjis untuk menyucikannya. Maka jika sifat-sifat najis dan sifat-sifat mutanajjis (air sabun) itu hilang dari pakaian dan tempat  sedangkan air yang berpisah daripadanya tiada berubah dan tidak bertambah maka tempat itu suci dan air yang berpisah itu suci (musta`mal). Setelah itu sama sahaja samada pakaian itu dikeringkan  atau diperah atau yang seumpamanya  dengan mesin basuh atau tidak. Walaubagimana pun jika pakaian itu belum suci  hendaklah pakaian itu dikeringkan atau diperah atau yang seumpamanya  dengan mesin basuh lagi sekali, supaya najis dan air mutanajjis itu hilang. Selepas itu hendaklah didatangkan air mutlaq kali kedua yang menyeluruh pada pakaian dan tempat. Sama seperti yang pertama. Jika hilang sifat-sifat najis dan mutanajjis dari pakaian itu atau hanya  tinggal bau atau warna, salah satu daripada kedua-duanya  yang sukar hendak dihilangkan, dan air yang berpisah dari pakaian yang dibasuh itu tiada berubah dan tidak bertambah maka air itu suci dan tempat itu suci.
Jika belum suci juga hendaklah diulang seperti di atas sehingga suci.

Perhatian.
Dalam masalah ini sayugia sabun yang digunakan membasuh hendaklah sekadar yang perlu sahaja supaya mudah hilang rasa, bau dan warna. Air mutalq yang datang  kepada pakaian untuk menyucikan  hendaklah seberapa banyak supaya mudah menghilangkan sifat-sifat najis dan mutanjjis.
Pakaian  yang sederhana banyaknya yang sudah dibersihkan dengan air yang bercampur sabun mengikut kadar yang  diperlukan, tidak berlebihan, dan air itu telah dibuang dan pakaian itu telah dikeringkan atau sebagainya sebagaimana yang diterangkan.
Selepas itu bagi menyucikan, didatangkan air mutlaq yang  banyak kepada pakaian dan tempat yang dibasuh, kemudian air itu dibuang, lalu pakaian yang dibasuh itu dikeringkan atau sebagainya sebagaimana yang diterangkan. Pada kebiasaannya  jika dilakukan perkara ini sebanyak dua kali atau tiga kali mengikut keadaan, maka pakaian dan tempat itu telah suci.

Kesimpulannya, bagi membasuh sesuatu yang mutanajjis dengan mengunakan mesin basuh hendaklah:

Pertama.
Hilangkan `ain najis

Kedua.
Datangkan air mutlaq pada tempat yang kena najis secara menyuluruh. Apabila air itu berpisah dengan yang dibasuh dan yang dibasuh itu hilang sifat-sifat najis daripadanya  iaitu bau, warna dan rasa dan air itu tidak berubah dan tidak bertambah maka yang dibasuh itu suci dan airnya juga suci. Jika yang dibasuh itu masih ada bau atau warna, salah satu daripada kedua-duanya, bukan kedua-duanya kerana sukar untuk meghilangkannya adalah dimaafkan.

Di atas tadi adalah pendapat al-Shafi`iyyah iaitu ulama-ulama mazhab al-Shafi`i.

Adapun al-Hanafiyyah iaitu ulama-ulama mzhab Hanafi maka menurut mereka bahawa  air yang  bercampur dengan sabun sekalipun air itu berubah satu daripada sifat-sifatnya boleh digunakan bersuci dengannya. (al-Zuhayli 1985, 1: 119;  Ibn al-Hammam t.t. 1: 124-125; Hasan bin `Ammar  al-Shurunbulali t.t. 1: 10).
Kata  Ibn al-Hammam:

وَتَجُوزُ الطَّهَارَةُ بِمَاءٍ خَالَطَهُ شَيْءٌ طَاهِرٌ فَغَيَّرَ أَحَدَ أَوْصَافِهِ ، كَمَاءِ الْمَدِّ وَالْمَاءِ الَّذِي اخْتَلَطَ بِهِ اللَّبَنُ أَوْ الزَّعْفَرَانُ أَوْ الصَّابُون
(Ibn al-Hammam t.t. 1: 124)

Kata Hasan bin `Ammar  al-Shurunbulali:

وإنما صح إلحاق المائعات المزيلة بالماء المطلق لتطهير النجاسة الحقيقية : لوجود شرط الإلحاق وهي : تناهي أجزاء النجاسة بخروجها مع الغسلات
(Hasan bin `Ammar  al-Shurunbulali t.t. 1: 10).

Dengan ini hukum membasuh pakaian yang kena najis dengan air sabun menurut al-Hanafiyyah adalah lebih mudah berbanding dengan al-Safi`iyyah, kerana air sabun itu sendiri boleh menyucikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan