Assalamualaikum wr.wbt ... TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG MASJID RINCHING HILIR .. kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan

Selasa, 17 Disember 2013

KONSEP ASAS ILMU DALAM ISLAM

KONSEP ASAS ILMU DALAM ISLAM 
Oleh ; Mohd Zailani b Ridzwan

PENDAHULUAN

Kedatangan Islam membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Wahyu yang pertama iaitu ayat 1-5 surah Al-‘Alaq dengan jelas mewajibkan pencarian ilmu.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Manifestasi wahyu pertama iaitu kalimah Iqra’ yang diturunkan kepada manusia jelas meletakkan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia. Islam memerintahkan umatnya untuk mencari ilmu agar boleh mengambil tempat sewajarnya sebagai khalifah Allah dan pemimpin di muka bumi ini. Ilmu sangat dipentingkan oleh umat Islam sehingga terdapat lebih kurang 800 rujukan yang berkaitan dengan ilmu di dalam al-Quran (Sulaiman Nordin , 2008).  Oleh itu agama Islam ini dapatlah dikatakan sebagai tertegak atas dasar ilmu atau pengetahuan. Tanpa ilmu dan pengetahuan kita tidak akan dapat mengenal Khaliq dan seterusnya tidak dapat berbakti kepadaNya. Perkataan “ilmu” disebut kira-kira 750 kali dalam Al-Quran melalui pelbagai bentuk (Syed Muhammad Dawilah,1993). Orang yang berilmu diberikan pujian dan dipandang mulia di sisi Islam. Hal ini dapat kita lihat melalui banyak ayat Al-Quran antaranya,

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Zumar ayat 9

“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”.

Firman Allah s.w.t dalam Surah  al-Baqarah ayat 269

“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”.

FirmanNya lagi dalam surah Surah al-Faatir ayat 28

“ Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu”.

DEFINISI ILMU

Dari segi bahasa  ilmu berasal daripada Bahasa Arab iaitu “ Alima ( علم ) , ya’lamu ( يعلم ), ‘ilman  ( علما ), ‘alimun ( عالم )  ” manakala dalam Bahasa Inggeris iaitu “ Science ”. Dari segi istilah pula Imam Al-Ghazali mendefinisikan ilmu sebagai hakikat semua benda. Beliau juga mengatakan ilmu yang paling sempurna ialah ilmu yang dimiliki oleh Allah s.w.t.

Ibnu Khaldun mendefinisikan ilmu sebagai sesuatu yang dapat dipelajari oleh manusia sama ada menggunakan akal fikiran, pancaindera, pengalaman-pengalaman, mahupun dengan pertolongan wahyu Ilahi.

S.M. Naquib Al-Attas (2007) mendefinisikan ilmu sebagai ketibaan sesuatu makna ke dalam jiwa seseorang hasil daripada maklumat atau ketibaan oleh hati tentang makna sesuatu. Ilmu merupakan suatu sistem yang menghasilkan kebenaran dan salah satu daripada usaha manusia untuk memperadabkan dirinya (memajukan tingkat kehidupan manusia daripada aspek jasmani
dan rohani (al-Attas, 2007)

Qadi Abd Jabbar mendefinisikan ilmu sebagai suatu kepercayaan yang memuaskan jiwa , bahawa objek yang dipercayai itu adalah menepati perkara yang sebenarnya menurut realiti yang berlaku.
Prof Dr. Othman Bakar mendefinisikan ilmu sebagai kalimah Allah yang pengertiannya amat luas, hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Ilmu lahir dan berkembang atas asas tertentu. Ia dihubungkan dengan teori dan asal usul ilmu yang disebut sebagai epistemologi. Epistemologi sesuatu ilmu mempunyai landasan dan tapak tertentu. Darinya ilmu terbina, berkembang dan membentuk perspektif atau tasawwur seseorang tentang sesuatu.(Sidek Baba, 2011)

DEFINISI ILMU MENURUT PERSPEKTIF BARAT DAN ISLAM

Perspektif Islam : Suatu himpunan pengetahuan manusia hasil usaha pemahaman manusia yang lengkap merangkumi semua aspek, struktur, sistem, hukum-hukum yang berkaitan dengan sesuatu yang dikaji dan diselidiki sehingga dapat memberi keyakinan di hati untuk mengamalkannya dengan benar  dan ilmu tidak hanya terbatas pada dapatan empirik sahaja. Epistemologi ilmu Islam berdiri atas asas sumber naqliyyah iaitu wahyu dan tidak menolak faktor akliah yang berasaskan penyuburan akal dan perkembangan pemikiran.  Diibaratkan sebagai pokok juga, akar tunjang bagi pokok itu ialah akidah. Akar-akar  yang lain dirujuk sebagai ibadah, akhlak, syariah dan lain-lain. Akar tunjang yang mantap dan subur bagi menumbuhkan batang, dahan-dahan, ranting-ranting, daun, bunga dan buah adalah hasil kekuatan akidah yang jelas, membentuk pandangan alam atau tasawwur yang lebih sepadu dan fitrah sifatnya (Sedek Baba, 2011).  Epistemologi ilmu dalam Islam terbentuk dalam acuan yang sepadu. Ilmu fardu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, syariah dan lain-lain menjadi tunjang dan membentuk gandingan dengan ilmu fardu kifayah seperti sains, teknologi dan ilmu-ilmu kemanusiaan. Dr. Maurice Bucaille  menemui titik persamaan yang amat menarik antara sains moden dan al-Quran itu sendiri. Menurut Dr. Zakir Naik terdapat hampir 2000 ayat tentang sains sahaja dalam al-Quran( Zainudin Hashim, 2010).  Ilmu-ilmu akal ialah ilmu yang berkaitan bidang sains, sastera, matematik, astronomi dan seumpamanya yang dipelajari dan difahami berdasarkan keupayaan pancaindera dan pemahaman akal. Ia tidak bersandarkan kepada nubuwwah atau wahyu.  Bagaimanapun, dalam Islam, pemahaman dan huraian ilmu-ilmu tersebut adalah berdasarkan kepada metafizika Islam atau prinsip-prinsip yang berasaskan tauhid, kerana tauhid adalah penentu segala-galanya dalam Islam 9Uthman El-Muhammady, 2011).  Sains empirikal atau sains pasti seperti matematik dan fizik bagi Islam adalah suatu ilmu yang boleh menghubungkan alam ghaib dengan alam nyata. Dengan mengguna simbol-simbol matematik, kita dapat menterjemahkan peraturan-peraturan yang disediakan di alam zahir oleh Allah s.w.t dalam bentuk yang boleh difahami oleh manusia. Rahsia-rahsia yang terdapat di alam zahir boleh dimanafaatkan untuk kepentingan manusia sambil memberi tanda-tanda bagi kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Oleh itu ulama yang benar-benar alim dalam Islam diisyaratkan baginya sebagai orang yang takut kepada Allah s.w.t.( Sulaiman Nordin, 2008)

Perspektif Barat : Ilmu adalah pengetahuan yang dapat diperolehi melalui pengalaman , perolehan maklumat secara dapatan empirik dan bagaimana manusia memikirkan tentang sesuatu melalui kaedah tertentu. Barat hanya menerima ilmu melalui perkara yang dapat diukur, dibuktikan dalam makmal sahaja. Mereka menolak perkara-perkara ghaib seperti akhirat, syurga, neraka dan seumpamanya kerana perkara tersebut tidak dapat dibuktikan secara empirik dan saintifik. Dalam sejarah kebudayaan Barat, sikap keras gereja terhadap aktiviti keilmuan mencetuskan kepada kelahiran sekularisme dan pemisahan aspek-aspek duniawi daripada aspek teologi. Epistemologi ilmu Barat sekular atau moden  tidak  menjadikan agama sebagai tapak atau landasannya. Manusia jika diibaratkan seperti sebatang pokok apabila akar yang menyuburkan dahan, ranting, daun dan buah adalah berasaskan rasionalisme, saintisme, humanisme, liberalisme dan modernisme Barat maka kesannya amat merbahaya kepada akidah. Akar tunjang yang berasaskan rasionalisme semata-mata menghasilkan bunga dan buah pemikiran yang sifatnya sekular berasaskan fakta, data dan dapatan hasil ujikaji dan pemerhatian yang menggunakan akal dan pancaindera semata-mata. Nilai, etika dan estetika dilihat sebagai nisbi dan sifatnya normatif atau berubah-ubah dalam kegunaan dan pemakaiannya (Sidek baba, 2011). Fahaman sekular yang menunjangi ilmu barat membawa maksud ‘kekinian’ atau kontemporari yang dirujuk dari bahasa Latin sebagai saeculum. Fahaman ‘kekinian’ ini menolak faktor-faktor kesilaman yang merujuk kepada agama, falsafah dan tamadun yang berasaskan nilai dan etika. Ilmu-ilmu moden yang bersifat ilmu-ilmu  kemanusiaan sama ada sosiologi, antropologi, psikologi mahupun ekonomi  dan pengurusan mengambil faktor empiris sebagai landasan perkembangannya. Manusia dan benda dilihat sebagai alat. Ia tidak dilihat sebagai suatu proses penciptaan dan pengembangannya berlaku secara kebetulan (by accident) dan tertaaluk kepada pengaruh persekitaran dan juga fenomena. Sebarang faktor agama untuk dijadikan hujah empiris tertolak kerana dianggap sebagai dogma iaitu tidak mempunyai asas pembuktian secara saintifik. Konsep dan pendekatan saintifik masih berlegar sekitar benda-benda wujud dan maujud tetapi tidak ada asas-asas yang dikatakan wujud dalam ghaibiyyat(Sidek Baba, 2011).



PEMBAHAGIAN ILMU DALAM ISLAM

Menurut Imam Al-Ghazali  ilmu dibahagikan kepada dua kategori besar iaitu Ilmu Fardu Ain
dan Ilmu Fardu Kifayah. Ilmu Fardu Ain adalah  ilmu yang berkaitan dengan ajaran agama yang asas dan perlu dikuasai  bagi setiap hamba Allah, ilmu fardhu ain  yang berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah  juga dikenali sebagai ilmu wahyu, ilmu ini yang wajib dipelajari oleh setiap orang Islam. Contohnya ilmu yang berkaitan aqidah, ibadah, syariat dan ajaran akhlak.
Manakala ilmu Fardu Kifayah  adalah ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan yang perlu bagi umat Islam, Ilmu  ini yang diperolehi melalui akal manusia dan ia perlu untuk kesempurnaan hidup manusia. Kewajipan menuntut ilmu ini hanya terbatas ke atas segolongan manusia sahaja. Contoh ilmu fardhu kifayah ialah  ilmu kemasyarakatan, ilmu sains tabii , sains fizik , Sains gunaan , ekonomi , pentadbiran an sebagainya (Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus ,1999).

Pembahagian lain Imam Al-Ghazali membahagi ilmu kepada dua bahagian. Pertama ilmu Syariah iaitu ilmu yang diperolehi daripada nabi atau rasul bukan melalui akal, ujikaji dan sebagainya. Semua ilmu syariah adalah sahih. Kedua ilmu ghair syariah  iaitu  ilmu keduniaan dan dibahagikan kepada 3 hukum terpuji ( mahmudah ) seperti perubatan, ekonomi dan seumpamanya, dikeji ( mazmumah ) seperti ilmu sihir, tangkal, nujum, ramalan dan seumpanya. , harus ( mubah ) seperti ilmu kesusasteraan, sejarah dan sebagainya (Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus ,1999).

Ibnu Khaldun pula membahagikan ilmu kepada dua bahagian iaitu  Ilmu Naqliah ( al-Quran dan al-Sunnah ) dan Ilmu Aqliah. Ilmu Naqliah terbahagi kepada dua kategori iaitu ilmu bersumberkan syariat ( wahyu ) seperti al-Quran dan al-Sunnah dan Ilmu bukan bersumberkan wahyu seperti Ilmu Hadis, Ilmu Usul Fiqh, Ilmu Fiqh, Ilmu Kalam dan Ilmu Tasawuf. Ilmu Aqliah pula adalah hasil daripada akal dan pemikiran manusia yang berhubung rapat dengan kemajuan dan peradaban manusia. Ilmu Aqliah terbahagi kepada empat kategori iaitu Ilmu Logik ( Mantiq ), Ilmu Fizik , Ilmu Metafizik ( Perkara Ghaib ) dan Ilmu Pembelajaran (Haron Din, 1985)



TUJUAN UTAMA ILMU ISLAM

Dalam Islam ilmu yang wajib dipelajari mempunyai beberapa tujuan iaitu  Pertama : tujuan ilmu adalah untuk mengenal pencipta . Firman Allah swt dalam    Surah al-Jumuah ayat  2  yang bermaksud

”Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (Al Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.
                                                                                   
Tujuan utama ilmu ialah untuk mengenal Allah s.w.t. dan manusia dibekalkan dengan akal yang mempunyai keupayaan yang amat dahsyat. Untuk mengenal Allah s.w.t tidaklah perlu untuk menggunakan akal yang tinggi. Akal sentiasa menghubungkan segala pengetahuannya dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Kewajipan manusia untuk mengenal Allah s.w.t melalui ilmu yang benar dengan menggunakan akal dan pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.

Kedua :  menghubungkan Ilmu Dengan Allah s.w.t. Menghubungkan kembali ilmu itu dengan penciptaNya kerana ilmu datang dari Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t bersifat dengan maha mengetahui, tiada suatupun yang terlindung daripada pengetahuanNya dan manusia tidak boleh lupa bahawa Allah s.w.t. yang menciptakan manusia dan mengajar kepada manusia yang pertama iaitu Nabi Adam a.s beberapa ilmu. Kita wajib menghubungkan ilmu dengan Allah s.w.t (Yang bersifat ’Aliman) agar tidak tersesat jalan.

Ketiga ; Mencapai Kebenaran. Mencari ilmu adalah untuk sampai kepada kebenaran (al-Haqq) dan keyakinan (al-Yaqin) dan melalui ilmu segala kepalsuan dan kebatilan dapat dihapuskan. Ilmu juga mampu mengeluarkan seseorang daripada keraguan kepada keyakinan.  Kebenaran yang mutlak dan pasti adalah daripada Allah s.w.t.

Keempat : Berilmu dan Beramal. Berilmu sahaja tidak memadai kerana tuntutan ke atas ilmu ialah melaksanakan kefahaman dan roh ilmu itu sendiri. Orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya merupakan suatu kekejian dan Orang yang berilmu tetapi tidak beramal mendapat celaan dan ancaman dari Allah s.w.t.
Kelima : Membentuk Kerohanian. Al-Quran seringkali menjelaskan bahawa ilmu dapat membentuk kerohanian seseorang yang akan menyebabkan rasa takut kepada Allah s.w.t. Ilmu yang mengabaikan nilai-nilai kerohanian akan tempang kerana manusia bukan terbina daripada unsur jasmani semata-mata bahkan dilengkapkan dengan unsur rohani. Kebahagiaan hidup selalunya dirujuk kepada kebahagian rohani iaitu ketegangan jiwa.

SIFAT ILMU DALAM ISLAM

Ilmu bersifat Rabbaniyyah dimana Ilmu dalam Islam bersumberkan dari Allah s.w.t. dan ia bersifat Rabbaniyyah atau ketuhanan. Manakala Al-Quran dan al-Sunnah menjadi sumber ilmu yang utama. Rabbani juga meliputi dari segi penggunaan ilmu itu sendiri. Ilmu digunakan untuk kebaikan manusia dan alam seluruhnya. Apabila ilmu tidak dikaitkan dengan Allah s.w.t, manusia akan menjadi takbur dengan kelebihan yang ada padanya. Matlamat ilmu adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Ilmu bersifat terbuka dimana sumber untuk memperolehi ilmu adalah sentiasa terbuka dan tidak terbatas kepada al-Quran dan al-Sunnah sahaja. Islam memberikan kebebasan kepada manusia untuk mengambil ilmu dari sumber yang benar sama ada melalui kajian, pemerhatian dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, hasil atau dapatan dari sumber yang bertentangan dengan kenyataan al-Quran dan al-Sunnah adalah ditolak. Sumber ilmu tidak semestinya daripada orang Islam sahaja bahkan Islam menggalakkan umatnya untuk mengambil ilmu dari siapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Ilmu bersifat syumul. Islam menerima dan mengiktiraf semua ilmu yang bermanfaat. Ilmu dalam islam bersifat syumul atau menyeluruh. Islam meletakkan ilmu agama dan dunia adalah sama penting. Islam amat menekankan ilmu fardu kifayah disamping ilmu fardu ain. Tanpa ilmu fardu kifayah , ilmu fardu ain tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

Setiap muslim wajib mengikhlaskan niat menuntut ilmu kerana Allah. Rasulullah s.a.w pernah  memberi  amaran bahawa Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan umatnya.  Orang yang benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat-sifat terpuji.  Firman Allah  s.w.t :(Surah al Baqarah : 235)

“Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.   

Umat Isla hendaklah tekun , tawakal dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu tanpa mengira keadaan dan  masa. Menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan bahan-bahan ilmiah. Mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu dan bukan sebaliknya.  Mencontohi ulama’-ulama’ silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah. Sentiasalah bertawakkal kepada Allah s.w.t dalam menuntut ilmu. Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah s.w.t sepenuh hati.  Selain itu umat islam hendaklah tekun berusaha mencari majlis ilmu. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. , katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda :

 “ Jika kamu melalui taman syurga , maka berhentilah kamu ”. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah , apakah taman syurga itu ? Beliau menjawab:  “Majlis-majlis Ilmu.
                                                                                                (Hadith riwayat Al- Tabrani )

Menjauhi Maksiat  dan umat islam mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam diri dan suasana sekeliling. Ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa.  Cubalah sedaya yang   mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya. Jangan terlalu mengambil mudah terhadap perkara maksiat yang boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar.

Menjauhi Pertengkaran Dan Perbantahan Perkara ini perlu dijauhkan kerana ia tidak mendatangkan kebaikan. Amalan ini juga menjadikan hati keras, mewariskan kedengkian dan menyebabkan kemarahan. Pendapat boleh dikemukakan dengan cara berhikmah dan soal diterima orang atau sebaliknya adalah perkara lain. Firman Allah s.w.t dam Surah al-Ankabut : 46)
   ”Janganlah kamu membantah Ahli Kitab itu melainkan dengan cara yang paling baik”.

Untuk mencari ilmu hendaklah memilih teman yang soleh. Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan. Hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam menuntut ilmu. Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah s.w.t menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud

”Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.”  

Ketika mencari ilmu hendaklah memperbanyakkan Zikrullah. Sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini  kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memuhasabahkan diri dengan amalan seharian.  Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan  zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah al-Quran sekurang-kurangnya sehelai  setiap hari kerana ia merupakan penawar segala penyakit. Mengamalkan perkara sunnah dalam setiap gerak kerja  kita seharian akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t dan makhlukNya. 

Seterusnya adab mencari ilmu hendaklah menjaga kehormatan. Orang yang berilmu wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain.  Menutup segala keaiban diri dan orang lain akan membawa kepada keredhaan Allah s.w.t. Seseorang yang dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah s.w.t. sahaja yang  mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian.  Mereka yang jauh daripada  rahmat Allah s.w.t., akan dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita.

Doa dan keredhaan ibubapa juga adalah adab mencari ilmu. Sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Rasulullah s.a.w  bersabda yang bermaksud

”Keredhaan Allah s.w.t. bergantung kepada keredhaan ibubapa”
( Hadith riwayat Al Tarmizi )

Satu lagi adab utama ketika mencari ilmu ialah menghormati guru. Wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam.  Patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Merendah diri terhadap guru walaupun lebih muda dari segi umur. Sentiasa memuliakan dan menghormati orang yang berilmu. Tidak meninggalkan majlis ilmu sebelum mendapat kebenaran dari guru. Beradab dari segi cara duduk atau cara bercakap dalam majlis ilmu.

Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi. Hendaklah mengamalkan segala ilmu yang dipelajari sebaik mungkin. Sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala.  Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat.  Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara.

SUMBER ILMU

Sumber ilmu dalam islam terbahagi kepada empat sumber iaitu Wahyu,  Akal, Indera dan Intuisi WAHYU (AL-QURAN & AS-SUNNAH) : Wahyu terdiri daripada A-Quran dan As Sunnah iaitu pemberitahuan Allah s.w.t kepada para rasulNya tentang segala petunjuk dan pengetahuan yang dikehendakiNya secara luar biasa. Wahyu utama ialah Al-Quran.  Al-Quran adalah kalam Allah s.w.t. yang bermukjizat, diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril a.s, dalam Bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan membacanya adalah ibadah. Selain merupakan kitab petunjuk, al-Quran juga adalah kitab yang mengandungi konsep-konsep asas ilmu seperti proses peciptaan manusia. Perincian ilmu secara teknikalnya ditinggalkan oleh Allah s.w.t kepada manusia untuk memikirkannya dengan menggunakan kekuatan akal. .  Wahyu diibaratkan sebagai pokok juga, akar tunjang bagi pokok itu ialah akidah. Akar-akar  yang lain dirujuk sebagai ibadah, akhlak, syariah dan lain-lain. Akar tunjang yang mantap dan subur bagi menumbuhkan batang, dahan-dahan, ranting-ranting, daun, bunga dan buah adalah hasil kekuatan akidah yang jelas, membentuk pandangan alam atau tasawwur yang lebih sepadu dan fitrah sifatnya (Sidek Baba , 2011). Kelebihan Al-Quran ialah jaminan kekal dan terpeliharanya ayat-ayat al-Quran
Firman Allah s.w.t  dalam Surah al Hijr ayat  9
                                                                                               
“Sesungguhnya Kamilah (Allah)  yang menurunkan al-Zikr ( al-Quran ) dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya”.
                                                                                                             
                                                                                               
Seterusnya Allah s.w.t. dan Rasul memuji orang yang belajar dan mengajar al-Quran. Membaca al-Quran adalah ibadah. Al-Quran merupakan sumber utama dalam pelbagai bidang ilmu kerana kesahihannya contohnya Ilmu Sains ( proses kejadian manusia, kejadian siang dan malam )
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud

“ Aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegangdengan kedua-duanya iaitu kitabullah (al Quran ) dan sunnah nabiNya”.
                                                                                                           (Hadith riwayat Malek)


Al-Sunnah merupakan sumber kedua dalam perundangan Islam selepas al-Quran. Al-Sunnah ialah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat-sifatnya. Al-Sunnah juga banyak memperkatakan seluruh bidang termasuk kesihatan, kemasyarakatan, akhlak dan lain-lain. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al Hasyr : 7 yang bermaksud;

“ Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya….”

AKAL : Menurut pandangan Islam  akal adalah sumber  ilmu yang memiliki kemampuan terbatas. Ilmu-ilmu akal ialah ilmu yang berkaitan bidang sains, sastera, matematik, astronomi dan seumpamanya yang dipelajari dan difahami berdasarkan keupayaan pancaindera dan pemahaman akal. Ia tidak bersandarkan kepada nubuwwah atau wahyu.  Bagaimanapun, dalam Islam, pemahaman dan huraian ilmu-ilmu tersebut adalah berdasarkan kepada metafizika Islam atau prinsip-prinsip yang berasaskan tauhid, kerana tauhid adalah penentu segala-galanya dalam Islam (Uthman El-Muhammady, 2011). Antara kelebihan akal ialah melihat dan menilai kebesaran Allah s.w.t.. Namun demikian akal adalah terbatas dan tidak bersifat mutlak. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran :  190 dan 191 yang bermaksud;

”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, 191(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka”.

Sains empirikal atau sains pasti seperti matematik dan fizik bagi Islam adalah suatu ilmu yang boleh menghubungkan alam ghaib dengan alam nyata. Dengan mengguna simbol-simbol matematik, kita dapat menterjemahkan peraturan-peraturan yang disediakan di alam zahir oleh Allah s.w.t dalam bentuk yang boleh difahami oleh manusia. Rahsia-rahsia yang terdapat di alam zahir boleh dimanafaatkan untuk kepentingan manusia sambil memberi tanda-tanda bagi kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Oleh itu ulama yang benar-benar alim dalam Islam diisyaratkan baginya sebagai orang yang takut kepada Allah s.w.t.(Sulaiman Nordin, 2008)
Asas inilah yang melahirkan sejumlah besar ilmuwan dan saintis Islam yang memulakan tradisi ilmu dengan tradisi hafazan, tafsir, bahasa, falsafah, logik, muzik dan kemudian menekuni bidang yang pelbagai seperti matematik, astrofizik, perubatan, sains dan teknologi hingga akhirnya mampu menampilkan tamadun unggul selama lebih 600 tahun. Pencapaian silam itu sudah tentu relevan dengan zamannya dan perkembangan sains dan teknologi hari ini sudah tentu berbeza dengan apa yang berlaku pada masa yang lalu. Pencapaian silam membuktikan terdapat roh integrasi yang perlu diteladani disamping sikap kreatif dan reflektif yang tinggi supaya sains  dan ‘the signs of the creator’ dapat didekati secara fikir dan bijaksana (Sidek Baba, 2011). Golongan rasionalisme mengatakan bahawa hanya melalui sumber akal sahajalah manusia dapat memperolehi pengetahuan bahkan pengetahuan akal yang paling benar dan sahih.

INDERA : Indera ialah pengalaman pancaindera atau deria. Pengetahuan melalui pancaindera dikenali sebagai pengetahuan aposteriori kerana ia datang selepas melalui pengalaman terlebih dahulu. Pengetahuan pancaindera ialah semua pengetahuan yang diperolehi manusia melalui kelima-lima pancainderanya iaitu mata, hidung, rasa ( kulit ), telinga dan lidah. Menurut Imam Al-Ghazali ilmu melalui indera ialah usaha untuk mendapatkan gambaran atau memerhati hakikat sesuatu benda. Indera terbahagi kepada dua iaitu Indera Lahiriyah dan Indera Batiniyah.
Indera lahiriyah akan menyerap sifat lahiriyah objek tertentu kemudian akan  meransang daya rasional pula.Indera batin menghuraikan makna-makna di dalam objek itu.

INTUISI : Intuisi  merupakan sumber ilmu dan deria keenam. Ia adalah ilmu yang diperolehi melalui penghayatan secara langsung. Intuisi disama ertikan dengan naluri , ilham atau bisikan hati. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa ilham adalah berupa cahaya yang jatuh di atas nurani, bersih dan lembut.  Tidak mungkin berlaku pemikiran akal atau perasaan tanpa disentuh oleh intuisi .Bagi kalangan ahli sufi Islam, sumber intuisi mereka dikenali dengan wijdan, diperolehi melalui pengalaman ”kasyaf” iaitu pembukaan alam ghaib oleh Allah s.w.t. kepada individu yang terpilih. Intuisi yang datang itu diproses dan pemprosesan itulah yang memungkinkan terjelmanya ilmu pengetahuan yang dibantu dengan akal dan pancaindera.
Contoh : Kisah Saidina Umar dan tentera Islam. Ketika beliau sedang berkhutbah di Madinah Umar nampak ada yang sedang berlaku ke atas tentera Islam yang sedang berjuang di Syria. Bahkan beliau boleh memberi arahan kepada tentera di sana dan mereka mendengar dan menurut arahannya. Kasyaf ini termasuk dalam karamah.

 Wahyu merupakan sumber rujukan ilmu yang terutama dan tertinggi. Wahyu Allah s.w.t.bersifat benar dan  mutlak. Wahyu Allah s.w.t. meliputi semua bidang ilmu pengetahuan antaranya Ilmu Ibadat , Ilmu Aqidah , Ilmu Muamalat , Ilmu Ekonomi , Ilmu Akhlak dan lain-lain. Wahyu Allah s.w.t. sesuai digunakan dan diikuti pada semua keadaan, tempat, dan masa. Sumber ilmu yang lain boleh diterima jika tidak bertentangan dengan sumber pertama iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.  Islam mempunyai kelebihan yang paling besar. Ia mengambil ilmu daripada semua penjuru termasuk wahyu yang merupakan ilmu pokok. Ilmu yang yakin dan mutlak tidak pernah wujud dalam sistem pengajian Barat sekular. Semuanya relatif termasuk nilai, akhlak dan teori sains. Kelemahan ini telah meresap ke dalam semua pengajian Barat dari segi tafsiran yang dibuat bagi sesuatu fakta  khasnya dalam bidang sosiologi. Oleh itu, ia boleh menyebabkan sebahagian besar pengajiannya tidak mempunyai asas yang kukuh sehingga menghasilkan banyak teori sesat yang  apabila dilaksanakan dalam bidang kehidupan harian praktikal masyarakat merosakkan, menyebabkan banyak kezaliman, ketidak adilan, penderitaan, seperti yang telah dihasilkan oleh teori sosialisme (marxisme), teori bangsa, teori nilai, teori sejarah, teori ekonomi dan teori psikologi Freud.  Sebagai contoh, lihat sahaja penderitaan jutaan mangsa di bawah rejim komunis di Soviet Rusia, China, Kemboja dan Afrika. Dalam sistem kapitalis pula, berlaku konsep wang atau pembangunan kebendaan menjadi matlamat kehidupan Sulaiman Nordin ( 2011)

SUMBER ILMU PADA PERSPEKTIF BARAT

Akal dianggap sebagai sumber ilmu yang tertinggi oleh itu barat berpegang kepada konsep rasional sebagai ukuran dalam menerima atau menolak sesuatu ilmu.  Sumber empirikal turut menjadi landasan untuk membuktikan kebenaran. Hanya yang dapat dibuktikan secara RASIONAL dan EMPIRIKAL diterima sebagai sesuatu yang benar. Menurut Sulaiman Nordin (2008) Barat mempunyai kekurangan yang besar kerana menafikan adanya Allah s.w.t. Oleh itu Barat  tidak berpegang kepada sebarang nilai mutlak, malah semua nilai dianggap nisbi (relatif).  Agama dianggap sebagai budaya yang dicipta oleh manusia. Sebenarnya bukan semua agama atau ideologi dicipta oleh manusia. Ada agama (dari langit) yang berasal dari Allah s.w.t yang suci daripada tambahan dan kekurangan.

NILAI ILMU

Persoalan aksiologi yang besar ialah menentukan sesuatu nilai pada ilmu. Pengaruh tamadun dan semasa ( zaman )yang menentukan nilai sesuatu ilmu. Dalam Islam, keutamaan ilmu adalah pada Ilmu Fardu Ain yang berhubung dengan pengetahuan agama yang asas seperti akidah, syariah dan akhlak. Selepas ilmu Fardu Ain diikuti oleh ilmu Fardu Kifayah atau ilmu keduniaan yang menyokong kepada pelaksanaan ilmu fardu ain.

Pada pandangan barat ilmu yang benar terbatas kepada pengetahuan mengenai alam zahir. Hanya pendekatan rasionalisme dan empirisme diterima sebagai kaedah memperolehi ilmu. Akal tidak mungkin mencapai ilmu yang yakin mengenai alam transedental , kepercayaan mengenai hakikat-hakikat bersifat transedental hanya diterima sebagai teori atau hipotesis yang tidak dapat diyakini kebenarannya dan kenisbian ilmu.

Ilmu hendaklah menjadi budaya. Budaya  ilmu ialah kewujudan suatu keadaan setiap lapisan
masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan. Keadaan di mana segala tindakan manusia baik pada tahap individu atau masyarakat, ditentu dan diputus serta dilaksana berdasarkan ilmu pengetahuan.
(Wan Mohd Nor, 2003)


HIERARKI ILMU

Dalam menentukan hierarki ilmu, terdapat perbezaan ketara antara Islam dan Barat. Perbezaan ini disebabkan berbeza dari segi penekanan dan susunannya. Barat meletakkan sumber dari akal dan pengalaman indera pada tahap teratas, lebih tinggi dari sumber wahyu. Ini kerana falsafah kebendaan mereka yang hanya menerima ilmu dari sumber empirik sahaja iaitu indera dan akal.
Islam meletakkan sumber wahyu sebagai hierarki yang paling atas atau utama. Menurut  Islam secara tertibnya hierarki ilmu dapat disusun seperti berikut :

i.          Ilmu wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah
ii.         Ilmu indera
iii.        Ilmu akal
iv.        Ilmu intuisi (kasyaf)

Menurut Imam Al-Ghazali ilmu memiliki sifatnya. Sifat ilmu terbahagi kepada tiga ialah Imu yang terpuji ( Mahmudah ) seperti perubatan, ekonomi, dan seumpamanya. Ilmu yang dikeji ( Mazmumah )  seperti ilmu sihir,  tangkal,  nujum,  ramalan dan seumpamanya. Ilmu yang Harus ( Mubah ) seperti ilmu kesusasteraan, sejarah dan sebagainya.

Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tersendiri. Kedudukan orang yang berilmu dilihat dalam dua aspek iaitu Orang berilmu yang terpuji dan orang berilmu yang dikeji. Orang berilmu yang terpuji ialah Ilmuan yang terpuji adalah orang yang berfungsi atau menunaikan tanggungjawab terhadap diri dan masyarakatnya. Mempunyai tanggungjawab moral yang menyentuh nilai-nilai dasar seperti keikhlasan, kebenaran, kejujuran, amanah, kegigihan dan seumpamanya. Allah s.w.t mengangkat martabat orang yang berilmu. Sebagaimana firmanNya dalam  Surah al-Mujadalah : 11 bermaksud

”Wahai orang-orang yang beriman, Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan."

Manakala orang berilmu yang dikeji  ialah Ilmu tidak semestinya membentuk peribadi ilmuan tersebut tetapi ilmuan tersebut hendaklah berkelakuan selari dengan ilmunya.  Orang berilmu yang dikeji apabila amalannya tidak selari dengan ilmunya. Orang berilmu juga dikeji apabila ia lari daripada tanggungjawab sosial dan agama.  Dalam tradisi keilmuan Islam, golongan ilmuan yang tidak bertanggungjawab terhadap ilmunya dan tidak berfungsi dengan sepatutnya dikenali sebagai ulama al-Su’ atau ulama jahat.  Antara ciri-ciri ulama al-Su’ ialah mementingkan dunia, tidak mengamalkan ilmunya, menyembunyikan ilmunya, bersifat riya’dengan ilmunya.

Kepentingan Ilmu Pengetahuan kepada setiap Individu ialah orang yang berilmu akan mempunyai akhlak yang baik, dipandang mulia dan menjadi sumber rujukan, disayangi Allah dan rasul. Membentuk individu yang berkeperibadian mulia .Dalam masyarakat pula akan memupuk perpaduan di kalangan masyarakat. Membentuk masyarakat yang harmoni dan aman sentosa. Melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif. Melahirkan masyarakat yang berwawasan dan berilmu. Untuk Negara pula membentuk sebuah negara yang setanding di mata dunia, dihormati oleh negara luar dan dipandang mulia. memenuhi wawasan negara untuk melahirkan individu yang berjaya. Pembangunan dan kemajuan dapat dijalankan dengan sempurna.

KESIMPULAN

Ilmu adalah suatu anugerah Allah s.w.t. yang agung kepada manusia sejak Nabi Adam a.s lagi. Dengan ilmu manusia bukan sahaja mampu untuk memahami sesuatu yang tidak mereka fahami  sebelumnya bahkan mereka tahu menggunakan sesuatu yang dianugerahkan kepada mereka. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia dapat mengenali Allah s.w.t. yang mencipta seluruh makhluk di muka bumi ini. Ilmu adalah bersepadu , tidak terpisah dari agama , nilai moral dan akhlak. Pemisahan akan menyebabkan ilmu hilang manfaatnya dan membawa kesengsaraan kepada manusia. Oleh itu, antara agenda besar umat Islam kini ialah pengislaman ilmu iaitu mengembalikan ilmu itu kepada Penciptanya.  Sesungguhnya dari Allah s.w.t. ilmu itu datang dan menjadi kewajipan kita untuk menghubungkan kembali ilmu itu kepada PenciptaNya. Islam adalah suatu sistem (cara hidup) yang sempurna, menyeluruh dan lengkap merangkumi aspek-aspek sosial, ekonomi, pendidikan, politik, pentadbiran, falsafah, sastera, kebudayaan, ilmu sains dan sebagainya.  Dalam Islam, berfikir secara objektif dan membuat  penyelidikan secara saintifik adalah amat dituntut. Sesungguhnya, pengkajian dan pemikiran secara saintifik atas alam tabii adalah satu cara dalam Islam untuk mengenal Allah s.w.t sebagai pencipta seluruh alam. Melalui sistem pendidikan ilmu yang sepadu (integrated knowledge) pengkajian sains boleh menerapkan sifat tafakkur, berfikir secara mendalam dan kritis serta melahirkan manusia yang beriman. Sebagai orang Islam yang terlibat dalam usaha mempelajari, mengajar,  mengembangkan atau menyebarkan ilmu pengetahuan sama ada dalam bidang agama, ilmu kemanusiaan, ilmu kemasyarakatan , sains tabi’i dan lain-lain, kita harus bertanya diri kita secara jujur adakah ilmu pengetahuan serta kepakaran kita membawa kepada komitmen yang mendalam terhadap akidah, syariah dan akhlak Islam di samping mendorong kita ke arah peningkatan amal salih dan kebaikan. Ada kemungkinan teori-teori, andaian, falsafah, pendekatan, rumusan, ideologi, paradigma atau pandangan yang kita pegang atau sampaikan kepada orang lain boleh menyebabkan pengasingan (alienation) atau terpesong dari tuntutan Allah dan Rasul dalam bentuk akidah, syariah dan akhlak. Sebagai hamba Allah yang dikurniakan sedikit ilmu pengetahuan maka sewajarnyalah kita menggunakan ilmu tersebut untuk membangun diri, masyarakat dan alam sekitar bersesuaian dan bertepatan dengan kehendak serta tuntutan Allah s.w.t.

RUJUKAN .

1.         Al-Quran
2.         Tafsir al Quran Pimpinan Rahman
3..        Abdullah Al-Qari Bin Hj Salleh, 1978, Dasar-dasar Pendidikan Islam.
4.         Dr. Asma Hasan Fahmi, 1979, Sejarah Filsafah Pendidikan.
5.         Dr. Haron Din, 1985, Manusia dan Islam.
6.         Imam Al-Ghazali, Terjemahan Syed Muhamad Dawilah Syed Abdullah.
Ihya ulumuddian.
7.         Ramli Bin Awang,Esa Bin Khalid, Md Abbas  Bin Abd Latiff, Ahmad Kilani Bin
Mohamed, Mahusssain Bin Mohd Zin, 1996, Konsep  Ilmu dan Kosmologi.
8.         Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1990. The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul. Kuala Lumpur: ISTAC.
9.         _____. 2007. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
11.       Wan Mohd Nor Wan Daud. 2003. Budaya Ilmu: Satu Penjelasan. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
12.          Sulaiman Noordin (2011). Sejarah Pemikiran 2. Bangi : Pusat Pengajian Umum UKM
13.       Sulaiman Noordin (2008). Sejarah Pemikiran 1. Bangi : Pusat Pengajian Umum UKM
14        Zaini Ujang. 2009. Memperkasa Budaya Ilmu: Konsep dan Amalan. Skudai: Penerbit UTM Press.
15.       Sidek Baba (2011). Tajdid Ilmu dan Pendidikan. Kuala Lumpur : Techknowlogic  Trading Sdn. Bhd.
16.       Uthman el-Muhammady (1977). Memahami Islam, Insan, Ilmu dan kebudayaan. Kota Bharu : Pustaka Aman Press.
17.       Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus (1999).Epistemologi Islam : Teori Ilmu dalam Al-Quran.  Kuala  Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

18.       Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad Nor (2010). Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden Siri 2. Kuala Lumpur : Jundi Resources

Tiada ulasan:

Catat Ulasan